Papagomo diarah bela diri pertuduhan cedera Syed Saddiq, kata kau bodoh



Kajang: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengarahkan bekas Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris membela diri terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman empat tahun lalu.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Wan Muhammad Azri, 40, yang lebih dikenali sebagai Papagomo turut diarah membela diri terhadap pertuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan yang kurang sopan dan menghina iaitu 'kau bodoh' ke atas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di mana keamanan mungkin akan terganggu.

Papagomo pada asalnya didakwa mengaibkan kehormatan Ahli Parlimen Muar itu dengan menyebut perkataan 'kau bodoh' di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pada 11.05 pagi, 16 Februari 2019.


Pertuduhan itu kemudiannya dipinda kepada pertuduhan baharu iaitu menyebut perkataan kurang sopan.

Mahkamah meminda pertuduhan daripada Seksyen 509 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Papagomo kemudiannya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan.

Bagi pertuduhan mendatangkan cedera, Papagomo didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq di leher dan bahu, di tempat, tarikh dan masa sama yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


Sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini, seramai 11 saksi pendakwaan sudah dipanggil memberikan keterangan termasuk Syed Saddiq yang merupakan saksi keempat.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Logen Eskander.

Mahkamah menetapkan Wan Muhammad Azri membela diri pada 22 dan 23 Mei serta pada 12 dan 13 Jun ini.


Pada 16 Februari 2019, Syed Saddiq membuat laporan mendakwa dicekak dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Pada 21 Februari tahun sama iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram