Pelajar maki pembuat soalan Sejarah SPM ditahan



PETALING JAYA – Polis menahan dua remaja lelaki bagi membantu siasatan video tular membabitkan pelajar sekolah menengah yang tidak berpuas hati terhadap kertas soalan Sejarah pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, kedua-dua pelajar berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di dua lokasi berasingan di Batang Kali pada pukul 9.30 malam semalam.

Katanya, tangkapan dilakukan hasil laporan yang dilakukan oleh seorang guru wanita berusia 53 tahun Balai Polis Batang Kali, menyatakan beliau telah menerima satu video TikTok memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan peperiksaan SPM mata pelajaran Sejarah.


“Dalam video berkenaan pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan mata pelajaran Sejarah serta menghina negara Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihak polis juga turut merampas barangan kes iaitu sebuah telefon bimbit jenama Iphone 11.

“Saringan air kencing juga turut dijalankan mendapati kedua-dua pelajar itu negatif dadah,” ujarnya.

Suffian berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.


“Pihak polis menasihati orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran video yang boleh menganggu siasatan serta mengelirukan masyarakat sehingga mencetuskan perbalahan,” katanya. – Kosmo




Join our Telegram Channel
Telegram