Selepas dipecat Umno saya hadiahkan PN satu Perlis, kata Shahidan



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim berterima kasih kepada Perikatan Nasional (PN) kerana sanggup menerimanya sebagai calon pada PRU15 bagi meneruskan perjuangan politik serta berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Walaupun dipecat Umno, katanya, beliau membalas jasa parti baharunya itu dengan menghadiahkan Perlis, yang sebelum ini kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN), untuk ditadbir PN.

“Saya menang baru-baru ini. Saya dipecat dengan teruknya daripada parti asal saya (Umno), tetapi syukur Alhamdulillah PN menerima saya.


“Dan saya ‘hadiah balik’ kepada mereka satu negeri,” katanya di Dewan Rakyat.

BN tumbang di Perlis pada PRU15, apabila PN menyapu bersih semua tiga kerusi Parlimen, selain 14 daripada 15 kerusi DUN.

Shahidan sebelum ini dipecat Umno susulan keputusannya bertanding atas tiket PN untuk mempertahankan Parlimen Arau pada PRU15, selepas tidak dicalonkan BN. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram