Tengku Zafrul dilantik sebagai ahli MKT Umno



Bendahari Umno Selangor, Tengku Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang baru.

Pelantikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dibuat pada mesyuarat MKT yang berlangsung di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur malam ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil selepas mesyuarat MKT Umno.

"Ya Tengku Zafrul dilantik sebagai ahli MKT," katanya kepada media.


Sebelum ini, Tengku Zafrul mengesahkan akan bertanding jawatan ahli MKT Umno pada pemilihan parti Mac ini.

Hasrat itu bagi membolehkan dirinya bersama pemimpin lain menyumbang khidmat kepada parti khususnya bagi memulihkan Umno.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu Tengku Zafrul bertanding atas tiket BN di kerusi Parlimen Kuala Selangor, tetapi tewas.

Sementara itu, Isham berkata mesyuarat MKT malam ini tidak membincangkan isu pemecatan ataupun penggantungan mana-mana ahli parti itu.


Sebaliknya, mesyuarat MKT banyak membincangkan isu pemilihan parti khususnya membabitkan tata etika pemilihan.

"Banyak bincang isu pemilihan, tiada isu penggantungan atau pemecatan.

"Berbincang soal etika kempen, kempen positif, jangan kempen negatif. Kalau kempen negatif parti lawan pun tengok," katanya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram