UMNO pecat Tun Faisal



PETALING JAYA – Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa telah menerima surat pemecatan tersebut pada pukul 4.28 petang melalui aplikasi WhatsApp setelah dihubungi Ibu Pejabat UMNO.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perkara dianggap menarik di dalam surat berkenaan di mana dimaklumkan beliau masih dirujuk sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian.


“Maksudnya jika sesiapa digantung keahlian mereka, gelaran jawatan mereka masih kekal walaupun hak keahlian mereka digantung. Jadi DS (Datuk Seri) Hishammuddin masih boleh digelar Ketua UMNO Bahagian dan bukan ‘bekas’ atau ‘mantan’ seperti yang dirujuk oleh media terhadap saya sebelum ini.

“Perkara ke-2 yang menarik adalah, sepertinya Datuk Ahmad Maslan terlupa hendak menyenaraikan nama saya dalam senarai sembilan ahli UMNO Putrajaya yang digantung,” katanya.

Susulan itu juga katanya, beliau mengambil keputusan untuk tidak membuat rayuan kerana keputusan sudah dijangka, lebih-lebih lagi apabila Majlis Kerja Tertinggi  (MKT) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka untuk menerima kritikan.

“Ketika saya bercakap perkara yang benar dulu pun berkenaan pengkhianatan Zahid terhadap dasar parti, saya tetap dihukum kononnya kerana memfitnah.


“Saya ucapkan terima kasih kepada UMNO dan pemimpin-pemimpinnya yang telah berjuang atas dasar Agama, Bangsa dan Tanah Air, sehingga berjaya mengangkat dan memartabatkan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan negara.

“Menghalang negara ini dari menjadi sebuah negara sekular dan menghalang kehendak parti-parti tertentu yang mahu menyamaratakan kedudukan Islam dengan agama-agama lain, serta mengangkat dan membela kedudukan orang Melayu dan Bumiputera,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa penentangannya adalah terhadap individu dan bukan terhadap UMNO kerana menurutnya, UMNO dan Barisan Nasional tiada masalah serta jelas prinsip perjuangannya. – Kosmo


Join our Telegram Channel
Telegram