Donald Trump dakwa akan ditangkap esok



WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjangkakan beliau akan ditangkap esok namun, tidak memberikan sebarang butiran mengenai bagaimana maklumat tersebut diketahuinya, lapor akhbar Metro UK.

Dalam tulisannya di rangkaian media sosial, Truth Social, Trump menulis bahawa kebocoran maklumat daripada pejabat Peguam Daerah Manhattan menyebut ‘calon parti Republikan terkemuka dan bekas Presiden AS akan ditangkap pada Selasa.’

Berikutan itu, Trump menggesa para penyokongnya untuk melakukan protes jika benar penangkapan itu berlaku.


Dakwaan itu dibuat ketika seorang pendakwa raya New York meneliti pertuduhan dalam kes bekas Presiden tersebut di mana belau didakwa menyerahkan wang tunai kepada wanita yang dikatakan menjalinkan hubungan seksual dengannya.

Pegawai penguatkuasa undang-undang di New York telah membuat persiapan keselamatan mengenai kemungkinan Trump boleh didakwa atas tuduhan tersebut.

Dalam beberapa kenyataannya di media sosial, Trump mengulangi dakwaan bahawa ‘kemenangannya telah dicuri’ sambil merujuk kepada pilihan raya Presiden 2020 yang mana beliau kalah kepada Presiden AS terkini, Joe Biden.


Beliau turut menggesa para penyokongnya untuk membantah perkara berkenaan.

Juri Agung di Manhattan telah mendengar daripada beberapa saksi termasuk bekas peguam Trump, Michael Cohen yang menyatakan ahli perniagaan itu mengatur pembayaran pada 2016 kepada dua wanita untuk ‘menutup mulut’ tentang hubungan seksual yang mereka dakwa pernah berlaku dengannya.

Namun, Trump menafikan perkara itu sambil berkata, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan telah menganggap siasatan kes tersebut sebagai perbuatan jahat pendakwa raya  parti Demokrat yang ingin mensabotaj kempen pilihan raya presiden AS pada 2024. – Agensi



Join our Telegram Channel
Telegram