Dr. Mahathir tak suka 1MDB beli IPP, kroni-kroni mengadu Najib ganggu perniagaan mereka



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan tidak suka dengan tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membeli stesen pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan skala besar pada 2011 dan 2012.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, sedangkan 1MDB mengambil langkah tersebut bagi menyelesaikan masalah berkaitan perjanjian IPP yang berat sebelah ketika era pentadbiran Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa Dr. Mahathir menyalahkan Datuk Seri Najib Razak atas kegagalan Wawasan 2020 dengan menuduh bekas Perdana Menteri keenam itu cuma tahu membeli IPP dengan harga mahal.


“Kita semua maklum bahawa perjanjian IPP yang berat sebelah yang memaksa Tenaga Nasional Berhad (TNB) membeli kuasa pada kadar lebih tinggi dan menjamin keuntungan mereka ini pernah merugikan negara sebanyak RM15 biliion hingga RM20 bilion setiap tahun dari segi beban subsidi gas Petronas kepada IPP swasta dan juga kerugian kepada TNB.

“Petronas berkali-kali lapor bahawa foregone revenue atau subsidi bagi IPP telah menyebabkan kerugian terkumpul mencecah RM150 bilion bagi mereka.

“Jadi, bagaimana nak capai Wawasan 2020 jika negara terbeban dengan masalah kehilangan RM15 bilion setiap tahun kepada kroni-kroni swasta pilihan Dr. Mahathir?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr. Mahathir menafikan bahawa beliau menjadi punca kegagalan Wawasan 2020.


Sebaliknya, Dr. Mahathir menyalahkan Najib dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri selepasnya dengan menuduh mereka mengetepikan dasar dan cara yang diterokai oleh beliau.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menambah, perjanjian IPP berat sebelah itu pernah menjadi isu yang sangat besar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tetapi ia disenyapkan selepas diselesaikan pada 2012.

Malah, menurut beliau, selepas masalah itu diselesaikan, penganalisis-penganalisis kewangan pernah menyatakan bahawa tidak akan ada lagi perjanjian sedemikian bagi IPP.

“Najib pernah tulis berkenaan perkara ini berulang kali tetapi tidak pernah dinafikan oleh Dr. Mahathir atau sesiapa pun,” jelasnya.


Beliau memberitahu, susulan penyelesaian tersebut, Petronas dapat menjimatkan sekitar RM15 bilion setahun manakala TNB kembali meraih keuntungan.

“Tambahan pula, keuntungan TNB juga naik mendadak sejak 2012 dan harga sahamnya naik berganda dari RM5 ke lebih RM15,” jelasnya.

Katanya, perkembangan itu memberi manfaat kepada jutaan rakyat yang mempunyai simpanan dalam tabung-tabung amanah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). – MG





Join our Telegram Channel
Telegram