Dua lelaki pukul pekerja restoran Pelita didakwa dimahkamah



KUALA LUMPUR – Seorang pemandu van pelancong dan seorang pemandu teksi didakwa di Mahkamah Majistret Sepang dekat sini hari ini atas pertuduhan mencederakan, khianat dan mengeluarkan perkataan lucah terhadap pekerja restoran nasi kandar di Cyberjaya.

Kedua-dua tertuduh, M. Elanggovan, 51, dan M. Vengateswaran, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Elangovan yang bekerja sebagai pemandu van pelancong menghadapi empat pertuduhan manakala Vengateswaran yang merupakan pemandu teksi berdepan tiga pertuduhan.

Dalam pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa  bersama-sama mengeluarkan perkataan lucah dengan maksud mengganggu kesantunan terhadap Md. Jahirul Hoque dan Sarishkumar Jayakumar.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada Md Jahirul.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa secara bersama telah melakukan khianat iaitu membaling pinggan milik Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd.

kkkkkkk

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, Elanggovan turut didakwa dengan sengaja mencederakan Sarishkumar Jayakumar iaitu pekerja restoran yang saman menggunakan sebatang penyepit besi.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah restoran Pelita Samudera Pertama 9M) Sdn.Bhd yang terletak di Glomac, Cyberjaya di sini kira-kira pukul 7.30 malam pada 16 Mac lalu.


Pendakwaan kes telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Lingeswaran Andiappan telah mewakili kedua-dua tertuduh tersebut.

Lingeswaran kemudian merayu mahkamah agar menetapkan suatu kadar wang jaminan paling minimum terhadap kedua-dua tertuduh itu.

Selepas mendengar hujah peguambela, Ayuni Izzaty membenarkan Elanggovan diikat jamin RM11,600 bagi keempat-empat pertuduhan sementara Vengateswaran yang berdepan tiga pertuduhan dibenarkan ikat jamin RM8,600 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh.

Ayuni Izzaty juga menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen kes tersebut.


Selain itu, mahkamah juga menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa dan saksi kejadian serta perlu melaporkan diri di balai polis sehingga  perbicaraan selesai.

Terdahulu, pada 17 Mac lalu, polis menahan tiga suspek lelaki termasuk seorang jurutera yang disyaki terlibat dalam insiden memukul dua  pekerja restoran nasi kandar  di Cyberjaya.

Tangkapan itu menyusul bertindak atas laporan diterima polis daripada seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan pengurus restoran tersebut.

Rakaman video berdurasi satu minit 31 saat yang tular di media sosial itu memaparkan kedua-dua suspek memukul pekerja restoran tersebut selain membaling pinggan sehingga menyebabkan situasi menjadi agak tidak terkawal. − MG





Join our Telegram Channel
Telegram