DUN Pulau Pinang lucut 4 wakil rakyat Bersatu kerana lompat parti



GEORGE TOWN: DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi empat ADUN Bersatu kerana melompat parti.

Usul itu dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) memenangi kerusi DUN pada PRU14 atas tiket Pakatan Harapan.


Mereka semua dianggap “hilang” kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020, berdasarkan peruntukan akta anti lompat yang terkandung dalam Perkara 14A perlembagaan negeri.

Perkara 14A menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, meletak jawatan atau dipecat daripada sesuatu parti atau telah dipilih selain daripada sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik.

Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang sebelum ini mengemukakan usul itu sebagai perkara utama pada hari pertama persidangan DUN.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan permohonan empat pemimpin Bersatu untuk menghentikan usul itu daripada dibentangkan, berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam pengurusan DUN.


Dengan kekosongan empat kerusi itu, ADUN PAS Penaga, Yusni Mat Piah kini menjadi wakil tunggal pembangkang di DUN Pulau Pinang.

Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) menguasai 33 daripada 40 kerusi DUN. Barisan Nasional (BN) mempunyai dua kerusi tetapi mereka tidak lagi dianggap sebagai pembangkang.

Tiada pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan empat kerusi DUN itu kerana PRN dijangka diadakan dalam tempoh empat bulan akan datang. – FMT


Join our Telegram Channel
Telegram