KUALA LUMPUR – Kegiatan seorang pelajar kolej swasta menjual kek brownie mengandungi ganja akhirnya tumpas apabila dicekup polis, di Jalan 9, di sini, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata pelajar lelaki yang berusia 19 tahun itu aktif menjalankan pengedaran kek ganja sejak tiga bulan lepas.
“Serbuan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) lbu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula pukul 5 petang hingga pukul 8 malam.
“Sejumlah 6 kilogram (kg) kek mengandungi dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM21,000 dirampas. Punca bekalan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan berlainan, seorang lelaki warga Indonesia yang berperanan menjaga bekalan dadah yang ditanam sedalam satu meter di kawasan tanah terbiar, di Subang Jaya turut diberkas polis.
Menurut Yahaya, serbuan yang dibuat selama dua hari bermula Isnin lalu, pada pukul 9 malam hingga pukul 5 pagi, berjaya merampas sejumlah 57 kg dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM192,000.
“Suspek berusia 31 tahun bekerja sebagai buruh kebun juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM213,000 dan sindiket-sindiket ini mula dikesan beroperasi sejak tiga bulan lepas dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli yang terlibat.
Join our Telegram Channel