Pelajar maut jatuh tingkat enam kecewa mesej tidak dibalas



MELAKA – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam selepas dikatakan kecewa dengan kekasihnya di Pangsapuri Bukit Beruang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil soal siasat, kekasih mangsa berusia 20 tahun mendakwa si mati datang ke rumah sewanya di tingkat enam kira-kira pukul 2 pagi selepas dia tidak membalas mesej yang dihantar.


“Wanita terbabit telah berjumpa si mati di koridor rumahnya dan lelaki itu meminta maaf mengenai perbuatannya sebelum ini yang membuatkannya berasa cemburu.

“Dia kemudian mendakwa telah memaafkan teman lelakinya itu dan terus masuk ke dalam rumah, namun tiba-tiba si mati bertindak memanjat tembok koridor setinggi empat kaki dengan keadaan kedua-dua kakinya ke luar,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, wanita tersebut yang juga pelajar di IPT sama pada awalnya menyangka teman lelakinya itu hanya bergurau, namun si mati kemudian dilihat mengangkat kedua-dua belah kaki dan hanya tangannya berpaut di tembok tersebut.


“Dia cuba menyelamatkan lelaki itu dengan mencapai sebahagian tangannya, namun tembok tersebut terlalu tinggi dan si mati telah terjatuh.

“Saksi terus menghubungi rakan sebilik kekasihnya untuk mendapatkan bantuan, namun lelaki itu telah meninggal dunia dan kejadian dilaporkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Christopher berkata, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan jenayah dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram