Pemimpin Syiah akan didakwa hina mufti sambut Hari Asyura 2019



Seorang pemimpin komuniti Syiah tempatan akan didakwa di Mahkamah Syariah pada Khamis minggu ini berhubung himpunan acara tahunan Hari Asyura hampir empat tahun lalu.

Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia telah dipanggil ke mahkamah syariah untuk didakwa berhubung perhimpunan pengikut aliran Syiah berkumpul sempena Hari Asyura yang jatuh pada 9 September 2019.

Dalam Syiah, hari itu disambut antara lain bagi mengenang ulang tahun kematian Husayn ibn Ali, cucu kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan imam ketiga dalam aliran Syiah.

Bapa enam anak berusia 57 tahun itu berkata, pertuduhan itu dikaitkan dengan dakwaan menghina pihak berkuasa agama Selangor membabitkan fatwa mufti negeri itu, yang melabelkan ajaran Syiah sebagai menyeleweng.


“Sebelum ini pada 19 Jan, dua orang lagi telah dipanggil ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang, Rawang, Selangor (atas pertuduhan bersubahat yang dikaitkan dengan perhimpunan itu), dan mereka kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 setiap seorang (menunggu prosiding kes mereka).

“Tetapi saya tidak menerima surat (saman) itu kerana saya telah berpindah rumah, dan hanya mengetahui saman itu daripada orang lain. Jadi saya akan hadir ke Mahkamah Syariah di Kuang pada Khamis ini,” kata Kamil, yang juga pengerusi jawatankuasa Persatuan Syiah Imamiyyah (Ja'fari).

Mengikut salinan saman yang menamakan Kamil itu, pertuduhan dinyatakan dirangka mengikut Seksyen 52 dibaca bersama Seksyen 12(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Seksyen 12 memperuntukkan kesalahan menghina pihak berkuasa agama, dengan subfasal (c) secara khusus berkaitan dengan fatwa Mufti.


Seksyen 52 memperkatakan cubaan untuk melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah enakmen atau undang-undang bertulis yang berkaitan dengan undang-undang Islam.

Pada 6 Sept 2019, Jais dilaporkan telah menahan lebih 20 orang Syiah di Gombak yang berkumpul di sebuah rumah kedai di Gombak.

Keesokan harinya, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata serbuan Jais dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Syiah ialah ajaran kedua terbesar dalam agama itu tetapi difatwakan sesat di Malaysia yang mengamalkan Islam Sunnah Wal Jamaah. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram