Sesi JKP gagal, Puteri Sarah tetap mahu cerai



Kuala Lumpur : Sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, hari ini, gagal mencari jalan penyelesaian apabila Puteri Sarah tetap dengan keputusan untuk bercerai.

"Saya masih dengan keputusan untuk bercerai dan tidak mahu berdamai. Cukup-cukuplah saya sudah penat. Lepaskan saya saja," katanya.

Menerusi sesi yang berlangsung hampir dua jam itu, Puteri Sarah yang diwakili adiknya, Dr Puteri Sofea nekad dengan keputusan untuk bercerai dengan Syamsul dan menyerahkan perkara itu pada sesi sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 10 April ini.

"Saya memilih untuk tidak berjumpa dan sebilik dengan Syamsul, hari ini. Jadi, saya dan adik hanya berjumpa dengan pegawai yang dilantik dan menceritakan segala-galanya mengenai konflik rumah tangga kami serta bukti.


"Bagi saya, pegawai Jawi perlu tahu apa yang berlaku supaya ada jalan penyelesaian atau sebaliknya. Saya tegaskan kepada pegawai berkenaan saya memang tidak mahu bersama kerana sudah penat dengan masalah yang ditanggung selama beberapa tahun ini.

"Selepas ini kami akan bertemu di mahkamah untuk hakim mendengar keputusan yang gagal dicapai pada sesi JKP ini. Saya harap saya cepat-cepat 'dilepaskan' dan sekiranya dia enggan menceraikan proses seterusnya adalah melantik hakam bagi permohonan perceraian ini," katanya.

Walaupun suaminya masih memberi harapan rumah tangga mereka masih dapat diselamatkan, namun Puteri Sarah menegaskan, dia enggan kembali ke pangkuan Syamsul.

"Tidak. Saya tak nak berbaik atau kembali ke pengakuannya. Saya hanya mahu bercerai. Malah, sepanjang prosiding perceraian ini, dia memang tidak bertemu saya atau anak-anak.


"Saya ingin tegaskan juga dia hanya ajak berjumpa ketika saya beritahu dia sekat WhatsApp saya sebelum ini. Tapi yang terbaharu ini memang tiada. Jangan cerita benda yang dah lama," katanya.

Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.


Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Berdasarkan dokumen diperoleh, antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai adalah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri, menurut hukum syarak.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. − Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram