Terpulang SPRM siasat nak Pagoh atau Bera jika ada bukti – PM



KUALA LUMPUR – Terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika terdapat bukti penyelewengan dalam Jana Wibawa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak akan menganiaya atau menekan mana-mana pemimpin kerana telah melalui pengalaman tersebut.

“Dikaitkan Jana Wibawa 1.0 itu Pagoh (Muhyiddin), Jana Wibawa 2.0 itu Bera (Ismail Sabri). Saya tak ambil kisah itu terpulang kepada SPRM hendak semak.

“Saya tak kata harus semak atau siasat hanya Dana Wibawa 1.0 kalau dia ada bukti 2.0 di bawah Bera disiasat. Saya tidak suruh. Fitnah dan kecaman boleh berlaku.


“Saya ingin beritahu tak mahu pegang jawatan ini (perdana menteri) untuk menganiaya, menekan sesiapa. Saya tahu apa erti pendakwaan terpilih. Tetapi mengapa dicerca kita,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Peringkat Dasar) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat malam ini.

Jelas Anwar, tidak sepatutnya ada sikap assabiyah atau mempertahankan rakan sendiri terhadap amalan rasuah.

Perdana Menteri menegaskan, beliau sendiri akan mempertahankan seseorang sekiranya pertuduhan yang dilemparkan tidak benar.

“Tanya penjelasan SPRM dan Peguam Negara. Ini seolah-olah rasuah ini mesti dipertahankan kerana ia kawan kita. Ini fahaman kabilah assabiyah.


“Tengok dulu pertuduhan, bukti. Betul atau tidak rasuah, betul atau tidak fitnah.

“Kalau betul fitnah tak payah orang Pas, saya sendiri akan bangun. Tetapi kalau benar ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita yang bicara Islam baca al-Quran, hadis, kita tapi pertahankan rasuah di mana pendirian kita?” soal Anwar.

Sementara itu Anwar turut mendedahkan Jana Wibawa yang sepatutnya membantu usahawan bumiputera turut diberikan kepada ahli perniagaan Cina.

Beliau menegaskan, projek itu akan diteruskan sekiranya ia benar-benar membantu golongan bumiputera.


“Kalau kata ini projek bumiputera, saya teruskan saya tidak batal. Saya runding semula kerana banyak pelanggaran peraturan kewangan.

“Ada syarikat Cina yang ‘dibumiputerakan’ kerana dia kebetulan kawan baik di Johor. Jadi itu pun nak pertahankan. Mesti pertahankan.

“Ini projek bumiputera bagi kepada Cina. Tak apa. Peraturan kewangan apa macam ini? Kalau hendak bagi projek saya tak halang tapi ini untuk bumiputera. Kita kelirukan,” katanya.

Dewan Rakyat luluskan Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2023 Peringkat Dasar selepas mendapat undian suara majoriti. – MG



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram