Zahid dapat semula pasport secara kekal



PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kini boleh keluar negara tanpa kebenaran mahkamah.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan presiden Umno itu mendapatkan semula pasport peribadi dan diplomatiknya.

Sidang tiga hakim yang dipengerusikan Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Zahid selepas mahkamah berpuas hati ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

“Permohonan untuk dilepaskan pasport kepada beliau dibenarkan,” katanya.


Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu mahkamah beliau mendapat arahan untuk tidak membantah permohonan itu.

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memberitahu pemberita keputusan hari ini bermakna anak guamnya tidak lagi perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi untuk keluar negara.

Zahid membuat permohonan baharu pada 13 Feb selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah enggan mengubah syarat jaminan bagi membolehkan beliau memiliki dokumen perjalanannya.

Dalam permohonan itu, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata pasport itu perlu dikembalikan kepadanya berikutan perubahan keadaan selepas PRU15 November lalu.


Beliau berkata sebagai timbalan perdana menteri dan menteri, beliau memerlukan pasport untuk menjalankan tugas rasmi.

Katanya, beliau bukan berisiko untuk melarikan diri (flight risk) dan pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu.

“Saya membayar ikat jamin RM2 juta dan mematuhi semua syarat jaminan yang lain,” katanya sambil menambah beliau berjanji untuk hadir perbicaraan pada tarikh yang dijadualkan.

Di hadapan Sequerah, Zahid memohon untuk mengetepikan syarat dalam jaminannya yang memerlukan beliau menyerahkan pasport peribadi kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai.


Sequerah menolak permohonan itu pada 3 Feb.

Bagaimanapun, hakim membenarkan pasport Zahid mendapatkan semula pasportnya buat sementara waktu bagi membolehkannya memohon pasport diplomatik, yang juga mesti disimpan mahkamah.

Sequerah berkata Zahid tidak berhak memiliki pasport dalam simpanannya kerana semua tertuduh dilayan sama rata di bawah undang-undang.

Keputusan itu bermakna Zahid perlu mendapatkan kelulusan mahkamah untuk sebarang perjalanan ke luar negara.


Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Dua belas daripada pertuduhan adalah kes CBT, lapan untuk rasuah, dan baki 27 untuk pengubahan wang haram.

Perbicaraan yang di peringkat pembelaan itu akan disambung semula pada 10 April. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram