70 bakal jemaah umrah tuntut Emraz kembalikan wang RM1.8 juta



KUALA LUMPUR: Kira-kira 70 bakal jemaah umrah kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) menuntut kembali wang dianggarkan berjumlah RM1.8 juta selain passport selepas agensi berkenaan gagal membawa mereka menunaikan ibadah itu seperti dijanjikan.

Seorang daripada mangsa, Sharul Azuan Mohd Said, 46, yang berharap mendapat semula wangnya itu berkata kecewa selepas hasrat untuk menunaikan umrah dengan berpuasa Ramadan di Tanah Suci tidak kesampaian.

Beliau yang juga Penolong Pegawai Perubatan Hospital Seremban berkata dia sudah membuat bayaran penuh sebanyak RM43,000 iaitu bayaran pertama RM25,000 pada 3 Disember lalu dan selebihnya 26 Januari untuk diri, isteri dan tiga anaknya menunaikan umrah.

"Kami jual kereta untuk capai niat tunai umrah pada Ramadan. Sebelum ini, saya memang sudah menunaikan umrah namun dengan agensi lain. Kami mahu mencuba Emraz apabila melihat iklannya di Facebook (FB) yang meyakinkan sebab baru mendapat anugerah cemerlang tahun lalu.


"Seminggu sebelum tarikh penerbangan dijanjikan iaitu 22 Mac, mereka masih tak bagi apa-apa maklumat termasuk visa dan sebagainya menyebabkan saya rasa curiga."

"Tanya dalam kumpulan sembang WhatsApp pun pihak agensi hanya berdiam diri. Telefon tak berangkat. Apabila pergi ke pejabatnya, kami diberi tarikh penerbangan lain, tunda kepada 29 Mac namun tiba tarikh itu, ditunda lagi ke 1 April kemudian terus senyap. Apabila kita pergi ke pejabatnya, dah tutup," katanya.

Sharul Azuan adalah antara sekumpulan 70 jemaah umrah berkenaan yang ditemui ketika membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani isu berkenaan dengan sebaik mungkin.


"Kejadian seperti ini berulang kali setiap kali musim umrah dan haji. Mangsa sama ada terkandas di lapangan terbang dan hotel. Malah ada yang tak balik ke kampung, malu dah buat kenduri kesyukuran."

"Syarikat betul satu hal dan syarikat 'scam' pun banyak. Nak tahu ke mana duit (bayaran kepada agensi untuk tunai umrah) itu pergi?

"Saya tidaklah nak mengatakan agensi diadukan ini adalah tak betul, tetapi ia jelas sudah membabitkan kegagalan apabila jemaah gagal tunai umrah. Masalah terkini berkait harga tiket, hotel tetapi ini sebenarnya masalah tahunan yang sewajarnya sudah ada persediaan," katanya.

Kelmarin, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Emraz selaku Pengelola Jemaah Haji (PJH) sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.


TH dalam kenyataannya, berkata keputusan itu diambil berikutan beberapa aduan awam mengenai perkhidmatan umrah yang diberikan oleh syarikat berkenaan.

Jumaat lalu turut berlaku kekecohan di pejabat syarikat terbabit selepas kira-kira 60 bakal jemaah umrah menyerbu pejabat bagi menuntut semula bayaran yang dijelaskan.

Susulan kekecohan terbabit, syarikat itu kemudian mengeluarkan kenyataan memaklumkan penangguhan trip sempena Ramadan disebabkan kenaikan mendadak kos dari segi penginapan dan tiket kapal terbang.

Katanya, ia berikutan permintaan tinggi seluruh dunia selepas kelonggaran pada sekatan COVID-19 di Arab Saudi berbanding Ramadan tahun sebelumnya. − Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram