Bekas MB Perlis didakwa atas dakwaan rasuah esok



PETALING JAYA: Seorang bekas menteri besar Perlis dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar, esok.

Menerusi jemputan kepada media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menamakan identiti sebenar bekas menteri besar itu.

“Dengan ini adalah dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa terhadap seorang bekas menteri besar,” kata kenyataan itu.


Bekas menteri besar itu dijangka dituduh pada 8.30 pagi.

Semakan dalam e-kehakiman, mendapati Azlan Man dinamakan akan berdepan tuduhan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Azlan merupakan bekas ketua Umno Perlis.

Memetik sumber Utusan Malaysia, bekas Adun Bintong itu akan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM iaitu kesalahan memberi atau menerima rasuah.


Pada pemilihan Umno, baru-baru ini, Azlan gagal mempertahankan jawatan ketua Umno Kangar. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram