PETALING JAYA: Kerana berang cintanya ditolak, seorang lelaki bertindak membakar sebuah kedai telefon di Teluk Intan, Perak tempat wanita itu yang juga isteri orang bekerja.
Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 54 tahun itu dilaporkan datang ke kedai wanita itu yang terletak di Jalan Besar Langkap dan cuba memikat mangsa.
Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak bekerja berang selepas wanita itu enggan melayannya menyebabkan dia mengamuk sehingga mencederakan mangsa dan melemparkan kata-kata berunsur lucah.
“Suspek turut mengugut akan membakar wanita itu dan tempat kerjanya. Kerana takut wanita itu bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan.
“Bagaimanapun, semasa membuat laporan, kedai tempat wanita itu bekerja yang juga milik adiknya dilaporkan terbakar,” katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan bomba dan kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira RM100,000.
“Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, polis berjaya menahan suspek yang dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai terbabit.
“Suspek turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki. Suspek yang ditangkap dalam keadaan mabuk dimasukkan ke Wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, polis percaya motif kejadian tersebut berpunca akibat perasaan tidak puas hati selepas cinta suspek ditolak oleh wanita itu.
“Suspek sejak beberapa bulan lalu sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.
Join our Telegram Channel