Ibu maut tikam leher menjerit-jerit tak mahu makan ubat



BACHOK – Seorang ibu berpantang selepas melahirkan anak keempat yang ditemui mati di dalam sebuah bilik di rumah ibunya di Kampung Beris Panchor di sini semalam dipercayai menjerit-jerit dan tidak mahu mahu makan dua jenis ubat yang dibekalkan pihak hospital.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 37 tahun pergi ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bersama adiknya kira-kira pukul 9 pagi semalam untuk rawatan kesihatan.

Menurutnya, pihak hospital telah memberi dua jenis ubat iaitu Zolpidem untuk merawat ‘Anxiety’ dan Fluvoxamine untuk merawat kesukaran tidur atau insomnia.


“Ibunya telah berpesan kepada mangsa untuk makan kedua-dua jenis ubat itu kira-kira pukul 3.30 petang, namun wanita itu menjerit dan enggan makan ubat berkenaan.

“Mangsa kemudiannya mengambil pisau di dapur dan berlegar-legar di sekitar rumah sambil memegang pisau tersebut. Salah seorang adiknya merampas pisau itu dan menyembunyikan senjata tersebut di sebelah rumah mereka yang merupakan tempat untuk membuat kuih,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, mangsa kemudiannya masuk ke dalam bilik seorang diri manakala anak lelakinya yang berusia 36 hari dijaga oleh ibu wanita itu di ruang tamu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya ditemui di dalam bilik tidur dengan kesan tikaman pada leher sebelum ibunya mencabut pisau yang tertusuk di bahagian tersebut.


“Siasatan lanjut mendapati, mangsa bertindak menikam dirinya sendiri dengan sebilah pisau pemotong sayur.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor di sini sebelum disahkan meninggal dunia. Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Mohamad Ismail berkata, hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pendarahan teruk pada bahagian lehernya.

Tambahnya, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa. − Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram