Lelaki selamat 3 hari sesat dalam hutan cari buluh lemang



BINTULU – Bacaan surah al-Quran membolehkan seorang lelaki keluar ketika sambutan 1 Syawal selepas tiga hari ‘disembunyikan’ di dalam hutan di Bukit Kemunting, di sini.

Berdasarkan cerita salah seorang penduduk kampung yang bertemu dengan Mohammad Ajib Junaidi, 31, sebaik sahaja balik ke rumah, dia menyatakan baharu masuk ke hutan berkenaan dan ada melihat orang ramai seolah-olah sedang mencarinya.

Malah, katanya dia dan motosikalnya berada tidak jauh dari tempat orang ramai yang mencarinya berkumpul.


“Selepas itu dia cuba membaca surah al-Quran dan akhirnya dapat balik,” katanya.

Sementara, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya dimaklumkan oleh polis bahawa Mohammad Ajib dijumpai selamat, namun dalam keadaan lemah kira-kira pukul 8.15 malam tadi.

Katanya,  mangsa seterusnya dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kemunting.

“Pasukan penyelamat cuba hendak membawa mangsa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut, tetapi mangsa menolak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Ajib dilaporkan hilang kira-kira pukul 11.17 malam Khamis lalu selepas keluar mencari buluh lemang kira-kira pukul 12 tengah hari, dengan kali terakhir dia dapat dihubungi pada pukul 3 petang.


Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama-sama penduduk kampung.

Pencarian dilakukan di kawasan tumpuan penduduk kampung mencari buluh dan beberapa kawasan yang menjadi laluan masuk penduduk mencari buluh, namun tiada kesan buluh ditebang.

Operasi SAR turut menggunakan khidmat Unit K9 polis, namun gagal menjumpai mangsa. − Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram