Tular video penjual bazar ‘ludah’ dalam isi murtabak



Labuan: Polis Labuan membuka kertas siasatan berhubung sebuah video tular menunjukkan seorang lelaki sedang mengacau adunan murtabak seakan-akan sedang meludah adunan berkenaan.

Video berdurasi 12 saat yang berlaku di Bazar Ramadan Labuan Walk Labuan, di sini, tular di media sosial sejak 19 April lalu dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, berkaitan kejadian itu, polis mengesahkan sudah menerima sebanyak tiga laporan polis.


Katanya, hasil penelitian lanjut, kejadian itu berlaku pada 19 April lalu di Bazar Ramadan Labuan Walk.

"Melalui rakaman itu, seorang lelaki dinyatakan sebagai penjual martabak perisa air ludah di Bazar Labuan Walk mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang tidak senang dengan kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sementara itu, Ahmad berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan video atau sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat.

"Sekiranya ada mana-mana pihaknya yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta agar tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Kennedy Mat Jusoh di talian 087-412222," katanya. − Hmetro







Join our Telegram Channel
Telegram