Pelajar sekolah bangga hisap vape



Kuala Lumpur: Tidak sampai empat hari vape nikotin dihalalkan dijual kepada umum, sudah ada pelajar sekolah yang diserang penyakit sawan kesan pengambilan vape atau rokok elektronik (e-rokok).

Perkongsian video di dalam laman sosial Facebook Public Health Malaysia, menunjukkan beberapa pelajar sekolah dengan bangga menghisap vape dengan memakai seragam sekolah.

Salah seorang pelajar sekolah terbabit kemudian dilihat mengurut bahagian dada manakala seorang lagi pelajar sekolah muntah di dalam kelas dipercayai kesan pengambilan nikotin vape.

Salah seorang guru bernama Saifullah turut berkongsi kejadian apabila salah seorang pelajarnya meracau, bibir menjadi putih dan badan kejang seumpama sawan.


Menurutnya, dia yang panik kemudian segera memberikan bantuan kecemasan sementara menunggu ambulans.

"Selepas tiga hari kejadian, barulah pelajar terbabit mendedahkan ia berpunca tindakannya menghisap vape cendawan secara sembunyi di dalam tandas sekolah," katanya.

Kejadian sama turut dikongsi individu bernama Anis mendakwa salah seorang ahli keluarganya diserang sakit kepala melampau sebelum muntah tanpa henti.

"Mangsa kemudian merapu seperti hilang kewarasan sambil memegang kepalanya yang sakit. Apabila disiasat, dia mendakwa menghisap cecair vape perisa baru dari rakannya," katanya.

Seorang lagi nitizen turut melaporkan kejadian kemalangan maut dialami dua remaja selepas menghisap vape tahun lalu.


Public Health Malaysia sebelum ini menganggap tindakan membenarkan penjualan cecair nikotin vape sebagai sejarah hitam kawalan tembakau negara

Badan kesihatan itu menyifatkan tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin, yang digunakan dalam gel dan cecair untuk e-rokok dan vape, daripada senarai bahan terlarang di bawah Akta Racun 1952 sebagai kesilapan serius.

Jualan vape itu dihalalkan bertujuan mengutip cukai daripada cecair vape yang berkuat kuasa pada 1 April lalu di mana duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Pengecualian nikotin daripada Akta Racun sebelum meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan menyebabkan kanak-kanak dan remaja mendapat akses tanpa halangan kepada produk vape yang mengandungi nikotin.


"Tindakan ini bertentangan dengan keputusan sebulat suara oleh Lembaga Racun yang berfungsi sebagai Penasihat Menteri Kesihatan dalam perihal Racun," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan warta menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Pengecualian itu terpakai ke atas tampalan dan gula-gula getah nikotin, yang didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sebelum ini, nikotin, dengan pengecualian kepada tembakau, diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C yang hanya boleh dijual doktor dan ahli farmasi. − Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram