PM umum cuti am tambahan Aidilfitri



Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.

"Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April, maka kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, maka kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.


"Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan tol Rahmah percuma selama empat hari kepada semua kelas kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, tol Rahmah percuma itu boleh dinikmati pengguna lebuh raya di seluruh negara bermula esok hingga 21 April dan 24 April 2023.

"Kerajaan bersetuju melaksanakan tol Rahmah percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.


"Pelaksanaan tol Rahmah percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan," katanya pada sidang medianya di Perdana Putra hari ini.

Anwar berkata, ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung.

Anwar turut mengumumkan:

• Kerajaan dengan kerjasama pasar raya terpilih menawarkan barangan mentah ayam, barangan asa makanan bagi keperluan Menu Rahmah pada kadar diskaun khas

• Polis Diraja Malaysia akan memberikan kadar khas bayaran saman trafik bermula 21 April sehingga 21 Mei bagi kesalahan 2022 dan sebelumnya, boleh diuruskan dengan harga RM50, selain lancar Ops Lancar dan Ops Selamat 20


• Jabatan Penjara laksana Pelepasan Orang Bebas Berlesen dengan membenarkan banduan merayakan Aidilfitri bersama keluarga, membabitkan lebih 1,000 banduan

• Kerajaan mengambil inisiatif menurunkan harga simen bagi membantu pemaju menurunkan harga rumah. − Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram