Polis siasat dakwaan anggota peras ugut pelancong China



Polis hari ini membuka siasatan ke atas salah seorang anggotanya dan seorang pelancong wanita dari China selepas klip video pendek tular di media sosial, yang mendakwa polis peras ugut.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman berkata kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMCA).

Peruntukan di bawah Seksyen 384 adalah untuk kesalahan yang berkaitan dengan pemerasan, manakala Seksyen 233 CMCA adalah kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang dianggap menyinggung perasaan atau boleh menyebabkan kegusaran kepada orang lain.


“Siasatan awal yang dijalankan mendapati individu di dalam video tular tersebut mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis tersebut kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Anggota polis dan individu yang telah dikenal pasti terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurut salinan video di TikTok, pelancong itu mendakwa polis meminta RM200 daripadanya selepas dia gagal menunjukkan pasportnya semasa pemeriksaan di Bulatan Dato' Onn di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, video yang tular itu hanya menunjukkan sebahagian daripada kejadian iaitu ketika anggota polis berkenaan meminta wanita tersebut dan pemandu teksinya menunjukkan "IC" (kad pengenalan) mereka.

Bahagian lain daripada dakwaan kejadian itu hanya diceritakan oleh pelancong tersebut, yang mendakwa polis berkeras mahukan wang RM200 walaupun selepas ditawarkan separuh daripada jumlah itu. − Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram