'Saya tak pernah terfikir jadi Ketua Menteri, tapi Allah mengizinkan' − Rauf



Masjid Tanah: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berjanji akan memajukan ekonomi negeri ini dalam pelbagai aspek selain menjadikan Melaka negeri maju di Malaysia.

Beliau berkata, hasrat itu bakal direalisasikan melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dengan syarikat swasta termasuk membawa lebih banyak pelaburan terus asing (FDI) ke dalam industri pembuatan.

Katanya, tugas utama individu yang dipilih menerajui kepemimpinan kerajaan negeri adalah memajukan ekonomi kerana ia adalah tunjang pembentukan masyarakat maju, sekali gus menyediakan kehidupan yang lebih selesa.

"Saya akan berbincang dengan pegawai kerajaan negeri...jadi saya tidak boleh nyatakan sekarang kerana ia perlu dibincangkan dengan pelbagai agensi dan jabatan.


"InsyaAllah saya akan nyatakan selepas ini kerana saya baru angkat sumpah tak sampai pun 24 jam lagi," katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah kepada saudara Islam di bangunan Perkim, di sini, hari ini.

Ab Rauf mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan beliau menerajui usaha memajukan ekonomi negeri, terutama dari aspek perindustrian dan FDI.

Seramai 25 saudara Islam menerima sumbangan wang tunai dan bahan makanan bagi meringankan beban perbelanjaan sepanjang Ramadan.

Ketika berucap, Ab Rauf berkata, beliau kembali selepas merantau ke beberapa negeri dengan hasrat membina Melaka menjadi negeri yang lebih baik daripada negeri lain.


"Saya tak pernah terfikir untuk menjadi Ketua Menteri tetapi Allah SWT mengizinkan saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang amat besar dan berat," katanya.

Dengan menelusuri jasa dan bakti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata, Najib adalah pemimpin yang bertanggungjawab meluluskan peruntukan pembinaan Masjid Al Sultan Abdullah di pekan Masjid Tanah.

Selain itu, Ahmad Zahid pula adalah tulang belakang usaha mewujudkan pusat pendidikan Islam berteraskan al-Quran dan akademik, iaitu Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka di Kampung Durian Daun di sini.

Sehubungan itu, Ab Rauf mahu mewariskan perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN) kepada generasi akan datang bagi memastikan kepentingan Islam dan anggota masyarakat Melayu sentiasa terpelihara. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram