Tak sempat berbuka rumah, kereta hangus terbakar



Kuala Langat: Enam sekeluarga tidak sempat menjamah juadah berbuka puasa apabila rumah papan yang didiami mereka sekeluarga terbakar hampir seratus peratus dalam kejadian di Kampung Kebun Baru, Batu 10, Telok Penglima Garang di sini petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian keluarga berkenaan sedang menyediakan juadah untuk berbuka puasa.

"Bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang terus bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 6.24 petang.


"Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar sebanyak 95 peratus.

"Sebuah kereta juga turut terbakar 100 peratus dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.28 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Morni berkata, kesemua mangsa yang terdiri dari dua wanita dewasa dan empat kanak-kanak lelaki sempat keluar menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaaan.

"Wanita dewasa dipercayai ibu (40an) dan nenek (60an) kepada empat kanak-kanak lelaki yang berumur dianggarkan sekitar 12 tahun ke bawah.


"Bomba difahamkan ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang membuat persediaan untuk berbuka puasa.

"Apabila menyedari kebakaran itu, mereka keluar menyelamatkan diri bersama dokumen pengenalan diri sahaja, lain-lain hangus terbakar termasuk baju raya," katanya.

Beliau berkata, operasi memadamkan kebakaran dijalankan oleh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Penglima Garang, BBP Banting dan BBP Andalas. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram