Tragedi mercun bola, pemuda putus tangan, jari hancur, dirawat di ICU



Kuala Nerus: Lelaki yang parah di kedua-dua belah tangan selepas dipercayai terkena mercun yang diubah suai dalam kejadian di Kampung Gong Pak Damat Kuala Nerus, hari ini kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mangsa berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan yang serius iaitu putus pergelangan tangan kiri manakala beberapa jari kanannya juga hancur serta kecederaan lain di bahagian badan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika mangsa membancuh mercun buatan sendiri dengan menggunakan mercun bola dan paip polivinil klorida (PVC).


"Ia menyebabkan berlaku letupan yang besar, dan kesan letupan itu, mangsa mengalami kecederaan parah putus pergelangan tangan kanan, beberapa jari kiri hancur serta kecederaan lain di bahagian badan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Menurutnya, kes berkenaan adalah kali kedua selepas kali pertama membabitkan mangsa empat kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun juga berlaku di daerah ini, Selasa lalu.

"Laporan kejadian itu dibuat abang mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.


"Usaha mengesan dan menangkap pengedar dan penjual mercun berkenaan sedang dilakukan," katanya.

Rohaimi berkata, statistik pertuduhan kes jenayah membabitkan tangkapan dan rampasan mercun di negeri ini bermula 23 Mac hingga semalam sebanyak 17 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM18,835 membabitkan 18 tangkapan.

Katanya, polis memberi amaran keras kepada mana-mana individu didapati mengedar atau menjual bunga api mercun tanpa permit akan dikenakan tindakan di bawah seksyen dan akta sama. − Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram