KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib Razak yang dijadualkan bersambung hari ini ditangguhkan selepas seorang doktor mengesahkan bekas perdana menteri itu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sakit perut sejak semalam.
“Beliau tidak sihat untuk hadir ke mahkamah. Beliau diberikan ‘drip’ dan tidak boleh berdiri atau duduk untuk waktu yang lama,” kata Dr Hafiz Hoshni, pegawai perubatan bertugas di Penjara Kajang.
Hafiz berkata, Najib mengadu mengalami cirit-birit sejak semalam.
“Saya berjumpa dengannya pagi ini. Ketika saya memeriksa beliau, saya mendapati beliau mengalami kekurangan air. Suhu badannya direkodkan pada 37.8 darjah Celsius,” kata Hafiz.
Doktor itu dipanggil ke mahkamah untuk melaporkan keadaan kesihatan Najib.
Menurut Hafiz, HKL memberikan cuti sakit kepada Najib hari ini dan Rabu.
Apabila ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib sama ada Najib akan sihat untuk hadir di mahkamah pada Khamis, Hafiz berkata ia bergantung kepada HKL sama ada akan melanjutkan cuti sakit Najib.
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes dan mendapatkan keterangan terkini mengenai keadaan Najib.
Najib didakwa atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dideposit ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Join our Telegram Channel