Dituduh pukul isteri, rogol isteri rakan, ketua Umno Tawau lapor polis



PETALING JAYA: Ketua Umno Tawau Ghazali Ansing membuat laporan polis susulan dakwaan mencederakan isterinya dan merogol isteri rakan baiknya seperti ditular sebuah blog.

Katanya, laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Aru, 1.37 petang tadi.

Beliau berkata, tuduhan dilemparkan blog itu begitu dahsyat dan cuba mencemarkan nama dan imej baiknya sebagai pemimpin politik.


“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah dilemparkan dan perkara ini telah mencemarkan nama baik keluarga serta mengganggu kehidupan harian anak-anak saya.

“Menerusi laporan ini, saya berharap polis dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap blog yang menyebarkan fitnah tersebut. Jadi, kita tunggu hasil siasatan polis,” katanya menurut Utusan Malaysia.

“Saya cuma berharap laporan polis ini dapat dijadikan rujukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.”

Menurut Ghazali, masalah rumah tangganya dengan isteri dijadikan alat menabur fitnah.


Pada 21 Feb lalu, beliau membuat laporan polis insiden kehilangan isteri dan siasatan awal mendapati, perkara itu membabitkan orang lari dari rumah dan bukannya hilang.

Malah, semasa isterinya melarikan diri, tiga anak mereka ditinggalkan bersendirian di rumah manakala dia berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Katanya, itu adalah kali kedua isteri yang dikahwini sejak 14 tahun lalu bertindak melarikan diri. − FMT





Join our Telegram Channel
Telegram