#KalimahAllah: Beri penjelasan atau kami ‘turun ke jalan’ – Akmal



KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dituntut memberikan penjelasan berhubung penarikan balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain bagi penggunaan orang bukan Islam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang membuat desakan itu berkata, penjelasan yang tepat perlu diberikan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan isu tersebut bukan isu politik sebaliknya melibatkan kesucian agama Islam.

Dalam kenyataan ringkas di media sosial, Dr Akmal memberi amaran beliau dan rakyat akan ‘turun ke jalan’ jika KDN tidak memberikan penjelasan sewajarnya.


“Kita mohon satu penjelasan yang tuntas dan tepat dari KDN perlu diberikan kepada seluruh rakyat. Jika tidak mahu kami dan seluruh rakyat turun ke jalanan untuk mempertahankan isu ini.

“Ini bukan soal politik, ini soal kesucian agama.” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini memaklumkan KDN telah mengemukakan nota kepada Kabinet berhubung membuat keputusan untuk menarik balik rayuannya berkaitan keputusan mahkamah tinggi.

Saifuddin berkata, ia adalah pendirian yang diambil oleh kementerian dan beliau telah memaklumkan kepada Kabinet.


Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkannya, kementerian dan kerajaan memfailkan notis penamatan itu pada 18 April lalu.

Notis berkenaan menyatakan KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain bagi penggunaan orang bukan Islam dalam agama mereka.

Isu itu bermula 15 tahun lalu apabila Jill Ireland memulakan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang. − MG



Join our Telegram Channel
Telegram