Khalid Ismath dera saya secara seksual, mental sepanjang perkahwinan



Polis hari ini mengesahkan bekas aktivis, Khalid Mohd Ismath, sudah didakwa di mahkamah bulan lepas atas pertuduhan mendera pasangannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata kes itu masih belum selesai di mahkamah.

Katanya polis menerima laporan daripada isteri Khalid pada 15 April lalu sebelum mula menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.


“Suspek (Khalid) ditangkap pada 17 April dan didakwa di mahkamah pada 19 April mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu kerana mendatangkan kecederaan kepada pasangan […]," katanya.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan bersalah menyebabkan kecederaan kepada orang lain secara sukarela.

Seksyen 326A pula membenarkan hukuman maksimum bagi satu set kesalahan kekerasan digandakan apabila mangsa ialah pasangan, bekas pasangan, orang dewasa yang tidak berupaya, atau ahli keluarga lain.

Kenyataan polis itu dibuat selepas isteri Khalid pada malam tadi menciap di Twitter memberitahu suaminya dituduh di mahkamah.


Wanita terbabit mendakwa dia telah menderanya secara seksual dan mental sepanjang perkahwinan mereka selain "mengganggu" rakan sekerjanya.

“Ini telah berlaku selama hampir 10 tahun […] Saya telah terperangkap dalam perkahwinan ini selama ini demi anak-anak.

“Saya telah memutuskan untuk berkongsi melalui cerita kerana saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan Khalid.

“Saya ada menerima mesej daripada rakan-rakan yang bertanyakan tentang kesejahteraan saya dan anak-anak.


"Saya harap rakan-rakan dapat memberi ruang dan menghormati privasi saya dan anak-anak buat masa ini,” katanya.

Mula dikenali sebagai aktivis pelajar, Khalid kemudian menjadi pengarah eksekutif kumpulan pelobi dikenali sebagai Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict). − Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram