KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad jujur dalam perjuangannya terhadap orang Melayu.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Mahathir sememangnya dikenali sebagai ‘ultra’ Melayu sejak sekian lama.
“Dari sudut lain, ia adalah prinsip sekurang-kurangnya kepada Mahathir, saya tahu dia memang percaya kepada ini. Sebab ini, beliau menulis Dilema Melayu, dia bapa nasionalis politik Melayu. Dia ultra.
“Bagi saya ini bukan luar biasa untuk Mahathir. Sebab selagi dia ada nyawa Mahathir akan memperjuangkan isu ini. Untuk mengatakan bahawa Mahathir bersikap oportunis mungkin, tapi (bagi) saya ini adalah betul-betul sesuatu yang ikhlas,” kata Khairy.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan secara bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Program selama sejam yang disiarkan di media sosial itu antara lain membincangkan mengenai topik Proklamasi Orang Melayu’ yang diterajui oleh Mahathir.
Beberapa pemimpin Pas termasuk presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menandatangani proklamasi itu baru-baru ini.
“Pas dari satu sudut berbeza sebab satu ketika kita lihat ideologi Pas cerita bangsa Melayu diistilahkan sebagai assabiah, sesuatu yang bertentangan dengan ideologi Islam yang dibawa oleh Pas.
“Ramai agak terkejut bila Pas sekarang setuju dengan Proklamasi Melayu. Sebab identiti Pas selama ini adalah Islam. Mungkin di situ ada tanggapan oportunis. Tapi bagi Tun Mahathir, saya rasa ini adalah benda biasa. Dia memang ultra Melayu,” kata Khairy.
Tambah beliau, penglibatan Pas dalam gerakan Proklamasi Orang Melayu adalah bersifat oportunis atau mengambil peluang dalam menentang musuh politik bersama iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini tindakan oportunis. Ada peribahasa musuh kepada musuh saya, adalah kawan saya. Dalam hal ini Pas mungkin melihat Mahathir adalah musuh PMX dan baru ini ada polemik saman fitnah antara Mahathir dan PMX.
ARTIKEL BERKAITAN:
Berikut adalah tuduhan-tuduhan kroni yang dikaitkan dengan Dr Mahathir:
Join our Telegram Channel