'Lepas akaun bank Abah dibeku, PAS cari Atok pula'



Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad membayangkan seakan ada motif tersembunyi di sebalik keputusan PAS untuk bertemu dengan musuh lama Dr Mahathir Mohamad.

"Mungkin benar apa yang dikatakan oleh budak-budak netizen, PAS kini mencari sumber kewangan baru untuk membiayai partinya.

"Selepas akaun bank Abah dibeku, mungkin kini PAS mencari Atok pula yang dananya masih banyak dalam akaunnya, tanpa mengira berapa harga yang perlu dibayar,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.


Abah merupakan nama panggilan untuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin manakala akaun parti itu telah dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah.

Akaun Bersatu didakwa digunakan untuk menerima sogokan yang kemudiannya digunakan untuk membiayai kempen Perikatan Nasional pada pilihan raya tahun lalu.

Sementara itu, Mahathir, 97, dituduh mengumpul kekayaan sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri kali pertama dahulu - satu dakwaan yang dinafikannya.

Mahathir baru-baru ini menyaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membuat dakwaan sedemikian.


Rabu lalu, pemimpin tertinggi PAS termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang bertemu dengan Mahathir untuk menandatangani "Proklamasi Orang Melayu" - dokumen yang menggesa orang Melayu bersatu untuk "menyelamatkan" kaum mereka.

Sebelum ini, Hadi juga pernah berkongsi pentas dengan Mahathir semasa "Kongres Martabat Melayu" pada 2019.

Menjelaskan tindakannya menandatangani proklamasi itu, Hadi semalam berkata perjuangan berasaskan kaum ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, Khalid - yang juga bekas ahli PAS - berkata ini tersasar daripada dasar parti itu sebagai sebuah parti Islam inklusif yang merangkumi semua tanpa melihat kaum. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram