PETALING JAYA: Seorang wanita mendakwa dicabul pengamal perubatan tradisional di sini baru-baru ini, ketika mendapatkan rawatan kerana mengesyaki dirinya disihir.
Harian Metro melaporkan, perbuatan jijik lelaki berusia 60-an itu terbongkar selepas mangsa berusia 27 tahun membuat laporan polis pada Ahad lepas.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 22 Mei lepas, ketika mangsa bersama tunangnya ke pusat rawatan tradisional berkenaan dan bertemu suspek yang mengaku pengamal perubatan.
Mangsa mendakwa, ketika proses rawatan di dalam sebuah bilik, suspek menyentuh bahagian badan dan kemaluannya beberapa kali.
“Sebaik selesai rawatan, lelaki itu menyuruh mangsa mandi dan meneruskan semula sesi rawatan mereka yang mengambil masa lebih dua jam.
“Semasa rawatan kedua itu, mangsa mendakwa diperlakukan perkara sama ke atas dirinya menyebabkan dia berasa takut lalu keluar dari bilik berkenaan,” menurut sumber.
Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada tunangnya, seterusnya tampil membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, suspek ditahan dan direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel