Umno banyak jasa, bodohlah tinggalkan Umno − Tajuddin



Ahli politik veteran Tajuddin Abdul Rahman berkata dia tidak akan keluar daripada Umno malah dirinya akan menjadi orang terakhir yang berhasrat berbuat demikian.

Tajuddin sedang menjalani tempoh penggantungan selama enam tahun.

"Saya setia kepada Umno. Umno banyak berjasa kepada saya dan saya banyak berjasa kepada Umno.

"Buat apa saya nak tinggalkan. Bodohlah saya tinggalkan Umno.


"Biar saya seorang tinggal dalam Umno, saya tak akan tinggalkan Umno," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, petang tadi.

Dia berkata demikian ketika ditanya jika dia salah seorang daripada pemimpin Umno yang dikatakan bakal meninggalkan parti itu.

Bekas ahli parlimen Pasir Salak selama tiga penggal itu berkata dia pernah menolak tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di kawasan parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Saya ditawar jadi calon. Kalau saya terima jadi calon PN, saya lah ahli parlimen Pasir Salak," katanya yang digantung daripada Umno pada Oktober tahun lepas kerana secara terbuka mengkritik parti itu.


Nak keris ke gelanggang PRN

Sementara itu, Tajuddin juga meminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi segera menarik balik penggantungan terhadapnya bagi membolehkan dia turun berkempen untuk Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kata Tajuddin, dia merayu supaya Umno menarik balik penggantungan sebanyak tiga kali namun sehingga kini belum ada jawapan daripada parti itu.

"Janganlah buat saya macam budak-budak, saya pun ada maruah.

"Saya tahu kelemahan PAS, saya tahu kelemahan Bersatu, saya tahu semua kelemahan Perikatan Nasional.


"Saya bersilat dalam PRN, ini macam mana nak silat, ini keris pun tak ada. Bagilah saya keris (tarik balik penggantungan).

"Kalau tak bagi keris macam mana saya nak bantu Umno pergi berperang," soalnya.

Bagaimanapun, Tajuddin menjelaskan dirinya tidak pernah berasa kecewa kerana digantung keahlian Umno.

"Saya tak pernah kecewa. Jangan kecewa dengan rahmat Allah," katanya. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram