PENAHANAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengundang pelbagai reaksi daripada dalam dan luar negara.
Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo berkata, penahan itu adalah detik yang dinantikan dan memberi kepuasan buat beliau sekeluarga.
"Ini adalah detik bahagia buat saya dan keluarga kerana kami membayar harga tinggi dalam mendedahkan jenayah ini.
"Kami akan berehat apabila semua rakan sekerjanya (Najib) akan dipenjarakan. Sebenarnya masih banyak kerja yang perlu dilakukan.
"Saat semua penjenayah terbabit ditangkap dan Malaysia kembali pulih, kami akan meraikannya" katanya ketika dihubungi menerusi Facebook.
Loading...
Justo juga mendakwa Pegawai tertinggi PetroSaudi, Tarek Obaid dan Patrick Mahony mencuri setengah bilion dolar daripada rakyat Malaysia namun keduanya hanya disiasat namun tidak dipenjarakan atas kesalahan besar ini.
"Sudah tiba masanya semua penjenayah ini dimasukkan ke dalam penjara. Saya terseksa selama 18 bulan di dalam penjara kerana mendedahkan jenayah ini. Saya harap mereka akan meringkuk dalam penjara lebih lama dari tempoh itu.
"Selain itu saya juga berbesar hati kerana dapat membantu siasatan ke atas kes ini, ini adalah hari yang wajar diraikan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, sungguhpun beliau antara pihak yang banyak mengkritik bekas Perdana Menteri itu namun tetap mendoakan keadilan buatnya sekeluarga.
"Berita tersebar @NajibRazak ditahan @SPRMMalaysia.
"Saya antara orang yang banyak kritik beliau. Tetapi saya berdoa beliau dilayan baik sebagai seorang bekas Perdana Menteri, dijaga maruah dan air muka.
"Saya berdoa beliau dan keluarga diberi keadilan sebaik-baiknya, itulah perjuangan reformasi," katanya menerusi akaun Twitter.
Loading...
Reaksi berbeza daripada pihak pembangkang apabila Wanita UMNO mengajak orang ramai mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan mantan Presiden UMNO itu.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata Wanita UMNO melahirkan rasa dukacita atas penahan bekas Perdana Menteri itu selain menuntut keadilan.
"Kami mendesak supaya beliau diberikan hak sepenuhnya kepada perbicaraan yang telus, adil dan diberi layanan seharusnya dalam proses penahanan dan pendakwaan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Presiden Pemantau Malaysia Baru, Lokman Adam, pula mahu mengadakan himpunan solidariti di ibu pejabat SPRM malam ini sebagai bantahan terhadap penahan Najib.
Ahli Parlimen Pekan itu ditahan SPRM di kediamannya dekat Langgak Duta, 2.35 petang hari ini.
Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan tangkapan dibuat terhadap Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Menurut kenyataan itu, Najib akan dituduh jam 8.30 pagi esok di Mahkamah Kuala Lumpur. – Hmetro
Join our Telegram Channel