ADUN Dengkil nafi ditahan polis



SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menafikan beliau ditahan polis membabitkan kes dadah di sebuah pusat hiburan semalam.

Adhif Syan yang juga Ketua Armada Selangor berkata dakwaan berkenaan adalah satu fitnah.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau ada menerima maklumat mengenai tangkapan seorang ADUN melalui media sosial tetapi belum ada laporan rasmi mengenai perkara itu.

"Saya sedang menunggu laporan berkaitan perkara tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi ini.

Sinar Harian masih berusaha mendapatkan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari bagi memberi maklum balas berhubung perkara tersebut.

Semalam tular di media sosial mengenai Adhif Syan dan bersama sepuluh Pegawai Khas Kementerian ditahan polis dan didapati positif dadah.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah pusat hiburan di sekitar Damansara, Kuala Lumpur. - SINAR
Join our Telegram Channel
Telegram