SPRM siasat doktor keluar surat cuti Rosmah



KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat doktor yang mengeluarkan surat cuti sakit kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh menyifatka tindakan SPRM itu sebagai cubaan menakutkan doktor berkenaan dan perbuatan tersebut langsung tidak boleh diterima.

“Doktor yang mengeluarkan MC kini sedang disiasat oleh SPRM. Ini adalah ugutan,” katanya seperti yang dilaporkan NST.


Loading...

Jagjit turut mempersoalkan siapa yang mengarahkan siasatan itu dibuat kerana ia tidak mungkin dari mahkamah.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mengeluarkan arahan itu mesti memohon maaf.

Namun, pendakwa raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram menolak hujah Jagjit dan menyatakan SPRM melakukan tugas mereka.


Loading...

“Sekiranya doktor berkenaan rasa dia diugut, beliau perlu membuat laporan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Jagjit menegaskan mahkamah perlu membuat keputusan mengenai perkara itu tetapi Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan mahkamah tidak akan campur tangan dan bersetuju dengan Sri Ram bahawa doktor itu perlu membuat laporan jika dia rasa takut.

Perbicaraan kes rasuah membabitkan Rosmah sepatutnya bermula pada hari Isnin lalu tetapi terpaksa ditangguhkan selepas beliau gagal muncul di mahkamah.


Loading...

Jagjit memberitahu Hakim Mohamed Zaini bahawa Rosmah tidak sihat dan doktor telah mengeluarkan sijil perakuan sakit pada 2 Februari lalu.

Rosmah didakwa mengalami leher akut dan sakit sendi – kesakitan yang alaminya sejak lima tahun lalu.

Peguam itu turut mengemukakan laporan perubatan Rosmah kepada mahkamah yang mengatakan beliau dirawat di sebuah hospital swasta.


Loading...

Perbicaraan itu kemudian ditetapkan pada hari ini.

Rosmah muncul di mahkamah hari ini kira-kira jam 10 pagi tadi, turut diiringi sebuah ambulans.

Rosmah, menghadapi tiga pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin bagi projek tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 buah sekolah di Sarawak. – MalaysiaGazette



Join our Telegram Channel
Telegram