Aktiviti masjid di Melaka tangguh 10 hari



ALOR GAJAH: Aktiviti masjid dan surau di seluruh Melaka, termasuk solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat ditangguhkan 10 hari, mulai hari ini berikutan penularan COVID-19.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang semalam berkata, arahan itu sejajar taklimat Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara serta perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas, pada Ahad lalu.

“Berdasarkan situasi terkini COVID-19 yang semakin kritikal berikutan gelombang kedua penularan selepas penemuan positif COVID-19 dalam kalangan 16,000 jemaah yang menghadiri Jodr Qudama dan Ulama Malaysia anjuran tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, semua aktiviti masjid dan surau di Melaka ditangguhkan dari 17 hingga 28 Mac ini.

Loading...

“Semua masjid dan surau dinasihatkan membuat operasi pembersihan dan nyah kuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Bagaimanapun, tempoh 10 hari itu sama ada akan dipendekkan atau dilanjutkan bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, jika ada kematian akibat virus COVID-19, pengurusan jenazah harus dilakukan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107 pada 11 Februari 2015.

Mengikut keputusan itu, pengurusan jenazah yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola, dibenarkan dilakukan mengikut prosedur tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik pada jenazah.

Loading...

“Kelonggaran atau rukshah itu adalah bagi mengelakkan kemudaratan kepada mereka yang menguruskan jenazah,” katanya.

Ketika itu, tiada keuzuran syar’ie dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini untuk tidak menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid tetapi mereka yang mempunyai simptom COVID-19 tidak perlu solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang sakit.

Selain itu, rakyat Melaka yang menghadiri ijmak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, diminta segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah bagi melakukan saringan atau pemeriksaan mencegah penularan COVID-19.

“Umat Islam juga disaran memperbanyak doa dan solat hajat memohon perlindungan Allah daripada penularan COVID-19 dan dilindungi daripada wabak itu,” katanya. – BHarian

Lagi berita mengenai COVID-19


Join our Telegram Channel
Telegram