Pelanggan berdegil tetap makan dalam kedai



Sungguh menyedihkan apabila sesetengah rakyat Malaysia masih tidak memahami rasional di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lalu.

Meskipun perintah berkenaan sudah berkuatkuasa pada hari ini, segelintir masyarakat masih dapat dilihat berkumpul beramai-ramai membeli dan meluangkan masa di kedai-kedai makan.

Hal ini sekali gus menggagalkan tujuan utama mengapa perintah berkenaan dikeluarkan iaitu untuk membendung penularan wabak Koronavirus baharu (COVID-19) yang kian membimbangkan.


Loading...

Setakat semalam, dua kematian sudah dilaporkan di negara ini yang melibatkan seorang paderi di Kuching, Sarawak yang berusia 60 tahun dan seorang lelaki karkun berusia 34 tahun di Johor.

Di sebuah kedai makan di Penang, kelihatan ramai pelanggan sedang menunggu pesanan mereka manakala, sebahagian yang lain sibuk bersembang mengenai perintah kawalan yang diumumkan perdana menteri.

Hasil tinjauan turut mendapati sesetengah pelanggan telah menemui cara untuk makan di gerai dengan menuangkan air yang dibungkus ke dalam cawan.


Loading...

“Perniagaan saya tidak dibuka hari ini. Saya hanya di sini untuk melihat keadaan,” ujar seorang individu yang berada di situ namun enggan identitinya didedahkan.

Selain itu, ramai pelanggan turut dikesan beratur di kedai makan kerana beberapa perniagaan sudah tidak meletakkan meja dan kerusi.

Sementara itu, di Kuching juga berlaku kejadian yang sama, ramai yang masih ingkar dan tetap menjalankan operasi seperti biasa. Tinjauan di laman sosial mendapati para pelanggan dengan tenang menjamu selera walaupun mengetahui risiko yang dihadapi sekiranya tidak mematuhi perintah tersebut.



Susulan itu, situasi ingkar ini telah menyebabkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Wee Hong Sheng sendiri turun ke padang dan memberi amaran kepada peniaga serta pelanggan yang tidak mengendahkan perintah kawalan pergerakan tersebut.



Menerusi postingan di laman sosial beliau, sekiranya perkara ini berlarutan sehingga esok, pihak MBKS tidak akan teragak-agak untuk menutup pusat penjaja yang berada di bawah seliaan MBKS sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Balai Polis Sentral ASP Ahmad Abang telah menjalankan pemantauan di sekitar Bandaraya Kuching pagi tadi dan turut memberi amaran serta menyuruh para peniaga menutup perniagaan mereka sepanjang perintah kawalan pergerakan. Situasi di Lebuh India sedikit mengecewakan kerana masih terdapat peniaga non-essential seperti kedai fabrik dan pakaian yang masih membuka perniagaan hari ini.

Sekiranya rakyat kita masih gagal mematuhi perintah larangan seperti ini, tidak mustahil pelaksanaan kawalan yang lebih ketat akan dikuatkuasakan selepas ini.

Tindakan mementingkan diri ini hanya akan membahayakan nyawa individu lain yang telah berusaha sedaya upaya menghindari jangkitan wabak ini. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. – TheStar/ILoveBorneo


Please subscribe










Join our Telegram Channel
Telegram