PN Melaka mengadap TYT kali kedua



YANG di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, hari ini bersetuju menerima kunjungan semua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Kunjungan kali kedua itu berlangsung di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.

Loading...

Kunjungan diketuai Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sumber memberitahu, kunjungan berkenaan bagi mendapatkan kepastian mengenai cadangan nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu seperti dipersembahkan semalam.

Loading...

Semalam kumpulan berkenaan mengadakan pertemuan dengan Mohd Khalil bagi mempersembahkan Akuan Bersumpah (SD) baharu untuk dipersetujui.

Pertemuan yang diatur saat akhir itu, susulan keputusan PN yang dianggotai 13 ADUN BN dan masing-masing seorang ADUN PKR serta DAP membatalkan kerjasama dengan dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka.

Loading...

Ia membabitkan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Ab Rauf dilaporkan berkata, tindakan ke atas kedua-dua ADUN berkenaan kerana mengenepikan peranan 13 ADUN BN dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Loading...

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dipetik berkata, langkah itu tidak menjejaskan hubungan PN Melaka dengan parti Bersatu.

Difahamkan, BN hanya menamakan ADUN Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali untuk dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12. – HMetro

Loading...

ARTIKEL MELAKA:

Join our Telegram Channel
Telegram