Pelan pemulihan ekonomi dijangka diumumkan akhir bulan ini - Tengku Zafrul



KUALA LUMPUR: Pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana merangkumi semua sektor dijangka diumumkan akhir bulan ini, demikian kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), serta kementerian dan agensi kerajaan lain sedang bekerjasama merangka pelan pemulihan itu.

Katanya, pelan pemulihan itu penting untuk menjana ekonomi negara dalam tempoh pendek dan sederhana susulan impak penularan Covid-19 yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Loading...

Jelasnya, pelan pemulihan itu akan menjadi penghubung dan pelengkap kepada pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan cuba sedaya upaya untuk memastikan tidak ada orang yang tercicir. Program pemulihan ekonomi akan diumumkan akhir Mei ini akan cuba merangkumi rakyat yang tercicir.

"Impak adalah berbeza mengikut industri. Contohnya, industri pelancongan adalah industri pertama yang terkesan dan ia juga adalah yang terakhir untuk pulih. Justeru, kita mempunyai pelan berbeza untuk setiap industri," katanya dalam temubual Eksklusif TV3 bersama Menteri Kewangan hari ini.

Mengulas mengenai bantuan kepada pengusaha mikro, Tengku Zafrul berkata, permohonan sudah dibuka bagi Geran Khas Prihatin untuk perniagaan mikro mulai 1 Mei 2020.

Loading...

Beliau berkata, kerajaan berharap dengan geran itu akan meringankan beban pengusaha mikro yang terkesan impak penularan Covid-19.

Mengenai pelan jangka panjang, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan merangka strategi jangka panjang menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, pendigitalan akan memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelestarian dan daya saing negara pada masa depan dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran yang diperlukan.

Mengenai kedudukan defisit fiskal dan hutang negara, Tengku Zafrul berkata, kadar defisit negara dijangka berada paras antara 4.7 peratus hingga 5.0 peratus tahun ini dengan mengambil kira pelaksanaan pakej rangsangan dan harga minyak yang rendah, sementara paras hutang pula pada sekitar 51 peratus. – Bharian
Join our Telegram Channel
Telegram