20 hotel di Melaka terima 4,932 tempahan bilik



SEKTOR perhotelan di Melaka menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila menerima sebanyak 4,932 tempahan dalam tempoh 10 hari lalu.

Sebanyak 20 hotel bertaraf tiga hingga lima bintang di negeri itu sudah mula menerima tempahan daripada pelancong domestik selepas seminggu sambutan Aidilfitri lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, jumlah itu meningkat sejurus pengumuman penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu.

Loading...

Beliau berkata, kerajaan negeri teruja dengan jumlah tempahan berkenaan yang menunjukkan sektor pelancongan di Melaka sudah mula pulih sejak wabak Covid-19 melanda dunia pada awal tahun ini.

"Ini di luar jangkaan kami. Statistik ini diperoleh daripada 20 hotel sahaja yang melaporkan kepada kerajaan negeri menerusi Tourism Melaka mengenai perkembangan terkini premis mereka.

"Susulan daripada itu, produk pelancongan lain juga sudah pasti menerima tempiasnya," katanya pada sidang medianya di Melaka, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Jailani berkata, penggunaan aplikasi Melaka eXcess mendorong kepada peningkatan tempahan hotel di negeri ini.

Loading...

Katanya, aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi Google Apps Store itu dapat membantu mempromosikan pelbagai produk pelancongan termasuk makanan dan barangan keperluan harian lain.

"Aplikasi ini sudah mula menampakkan keberkesanannya apabila beberapa lagi pasar raya menyatakan persetujuan untuk menjual barangan mereka.

"Menerusi aplikasi ini juga, pengguna mampu memperoleh barangan dengan harga murah sekali gus memberi banyak manfaat kepada mereka," katanya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram