Berilah peluang kepada Anwar jadi PM – Nik Nazmi



Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan mengapa begitu sukar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diberi peluang menjadi perdana menteri.

Katanya, Anwar selaku Ketua Pembangkang dan ketua parti dengan 38 kerusi sepatutnya diberikan peluang untuk menjadi menjawat jawatan tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, Malaysia memerlukan permulaan yang baru dan Pakatan Harapan dapat memberikan harapan tersebut.

Loading...

“Beri peluang kepada Anwar, selaku Ketua Pembangkang dan ketua parti dengan 38 kerusi untuk mengambil alih tampuk kuasa untuk melihat sejauh mana beliau dapat tunaikan bukan saja janji-janji Pakatan Harapan tetapi juga potensinya sebagai PM.

“Malaysia perlukan permulaan yang baru, Pakatan Harapan dapat memberikan harapan itu. Cuma, untuk melakukan semua itu, kita memerlukan keazaman politik yang kuat, dan berani belajar dari kesilapan lepas,” kata Nik Nazmi.

Menurut Nik Nazmi, dari tahun 1988 sehingga kini pelbagai tomahan dilemparkan kepada Anwar termasuk sebagai liberal, Islamis, nasionalis dan gila kuasa.

Cuma Anwar belum diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak pernah memilih jalan mudah dalam perjuangannya.

Loading...

“Mengapa susah sangat untuk diberikan peluang kepada Anwar? Dari 1998 sehingga hari ini, apa tohmahan yang tidak dikenakan ke atasnya: untuk audiens Melayu dikatakan beliau terlalu liberal.

“Untuk kelompok liberal, diulang-ulang latarbelakang aktivismenya mendaulatkan Islam dan mendaulatkan Bahasa Melayu yang dikatakan ekstrem. Dikatakan Anwar ini gila kuasa.

“Yang pasti, beliau belum berpeluang menjadi PM. Yang pasti, beliau tidak memilih jalan mudah selama ini hingga dipenjara lebih sedekad. Yang pasti beliau ditawar untuk tinggalkan sekutu dalam Pakatan Harapan untuk mendapat kuasa, tetapi menolaknya. Agak aneh untuk seorang yang begitu terdesak untuk kuasa berbuat demikian,” kata Nik Nazmi.

Sementara itu menurut beliau, faktor bermain-main dengan manifesto PRU14 dan kegagalan untuk merangka plan transisi peralihan kuasa telah menyebabkan PH kalah pada perancangan rapi pihak yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP, Amanah, Warisan cadang Dr M calon PM, PKR belum beri jawapan

Jelas Nik Nazmi masalah transisi kuasa dari Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Anwar telah menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan dari situasi ini sedangkan indikasi peralihan kuasa 1-2 tahun telahpun diberikan kepada umum.

“Memandangkan tiada mekanisme yang jelas dan berlaku dolak-dalik dari segi tarikh, pihak yang tak bertanggungjawab telah melakukan perancangan rapi untuk melaga-lagakan kedua tokoh ini, dan akhirnya telah menyebabkan kejatuhan Pakatan Harapan.

“Untuk bergerak ke hadapan, Pakatan Harapan dan Malaysia perlukan permulaan yang baru, kita perlu belajar dari semua kesilapan yang kita lakukan sebelum ini. Kita tidak boleh menjadikan pisang berbuah dua kali, tapi kita boleh menanam buah-buah baru untuk berikan kepada rakyat,” kata Nik Nazmi. – SM



Join our Telegram Channel
Telegram