Dr M punca PH tumbang, tak layak jadi PM lagi – Pemimpin PKR



Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan tidak adil bagi Anwar Ibrahim untuk dipaksa menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri "PH plus" selepas apa yang berlaku sebelum ini.

Nik Nazmi membangkitkan apa yang menurutnya sebagai ketidaktentuan dalam isu peralihan kuasa sebelum ini.

“Tidak adil untuk memaksa Anwar untuk menerima Mahathir sebagai calon PM ke-9 apatah lagi dengan apa yang beliau lalui sebelum ini.

“Tambahan pula, rekod Mahathir dalam isu peralihan kuasa yang menimbulkan ketidaktentuan ketika PH memerintah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loading...

Beliau juga menyasarkan Mahathir berkenaan tumbangnya pentadbiran PH pada akhir Februari lalu.

"Krisis politik yang kita lalui selepas Langkah Sheraton sebahagiannya berpunca dari tindakannya meletak jawatan tanpa berbincang dengan rakan-rakan PH dan keyakinan bahawa ahli-ahli Parlimen Umno dan PAS bersamanya," katanya.

Katanya lagi, negara memerlukan permulaan baru dengan kerajaan yang bersih dan fokus kepada rakyat, dan Anwar adalah orang terbaik untuk memimpinnya.

Dalam satu wawancara bersama Malaysiakini, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mendedahkan perancangan "PH plus" yang antara lain mencadangkan kombinasi Anwar-Mukhriz Mahathir sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Loading...

Susulan penolakan Warisan, kombinasi Mahathir-Anwar dikemukakan. Kata Loke, mereka menyerahkan kepada PKR sama ada untuk menerimanya atau tidak, dan sehingga kini parti itu belum membuat keputusannya.

Dalam pada itu, setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa DAP dan Amanah untuk menyatakan pendirian untuk menyokong Anwar.

“Anwar berdepan dengan pelbagai cabaran dan sering dilabel sebagai sangat liberal dan tidak dekat dengan komuniti Melayu ekoran kesetiaannya terhadap DAP.

“Tindakan dan kenyataan daripada DAP dan Amanah tidak berdiri teguh di belakang Anwar adalah sesuatu yang mengecewakan dan tidak bersikap kepimpinan,” kata pengerusi PKR Perak itu dalam kenyataan. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram