Marzuki dipecat sebagai ketua PPBM Pulau Pinang



PETALING JAYA: Marzuki Yahya yang sebelum ini dilucutkan jawatan sebagai setiausaha agung PPBM kini turut diberhentikan tugas sebagai ketua parti itu di Pulau Pinang.

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin dalam sepucuk surat kepada Marzuki bertarikh 2 Jun berkata, tugasnya diberhentikan berkuat kuasa serta merta.

“Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas segala sumbangan dan khidmat bakti Marzuki sepanjang memegang jawatan tersebut,” katanya dalam surat berkenaan.

Selain Marzuki, turut dihentikan tugas sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkuat kuasa serta-merta ialah Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Loading...

Ketika dihubungi, Marzuki menyifatkan demokrasi dalam parti itu dihancurkan oleh Muhyiddin susulan tindakan beliau menghentikan tugasnya sebagai ketua PPBM Pulau Pinang serta-merta.

Marzuki berkata, beliau percaya tindakan dan keputusan yang diambil terhadapnya adalah disebabkan sikap tidak senada beliau dengan presiden parti serta tidak menyokong keputusan PPBM bekerjasama dengan Umno dan PAS.

“Saya tidak tahu sama ada Muhyiddin telah menyalahgunakan kuasanya, tetapi bagi saya, keputusan yang dibuat itu adalah kerana sebahagian daripada kami tidak menyokong pendiriannya untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS.

“Sekarang ini demokrasi yang ada dalam PPBM sudah dihancurkan oleh presiden sendiri. Kita tidak boleh keluarkan apa-apa pandangan, hanya menurut segala kehendak beliau sahaja,” katanya kepada FMT.

Loading...

Terdahulu, melalui surat dikeluarkan oleh Muhyiddin pada 2 Jun, Marzuki diberhentikan tugas sebagai ketua PPBM Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.

Marzuki turut memaklumkan bahawa beliau menerima surat pemecatan itu semalam.

Katanya jawatan yang disandang tidak penting dan tidak ada gunanya jika parti yang disertainya itu kini sudah hilang arah perjuangan.

“Ini boleh membawa kepada kehancuran parti sendiri,” katanya.

Ketika ditanya, apakah beliau menjangkakan keahliannya dalam parti juga akan terhenti serta-merta, Marzuki berkata, perkara itu tidak mustahil kerana pada ketika ini “pelbagai kemungkinan” boleh berlaku.

“Segala kemungkinan boleh berlaku kerana mereka tidak berpegang kepada perlembagaan,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram