Melaka benarkan solat Jumaat, fardu berjemaah di masjid, surau mulai esok



MELAKA: Kerajaan negeri hari ini membenarkan solat Jumaat dan fardu berjemaah ditunaikan di masjid dan surau dengan bilangan jemaah kurang 40 peratus daripada had kemampuan sebenar kedua-dua premis berkenaan, mulai esok.

Selain itu, kerajaan negeri turut membenarkan aktiviti keagamaan dilaksanakan di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan mulai semalam hingga 31 Ogos ini dan sebarang perubahan selepas PKPP, akan diumumkan kemudian.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dalam kenyataannya hari ini, berkata bilangan jemaah adalah berdasarkan kapasiti yang mampu ditampung oleh masjid dan surau.

"Kedudukan saf mesti berdasarkan penjarakan sosial dengan anggaran jemaah kurang daripada 40 peratus daripada kapasiti asal masjid dan surau.

Loading...

"Contohnya, jika kapasiti asal masjid seramai 400 jemaah, maka bilangan maksimum jemaah tidak boleh melebih 160 dan bagi masjid besar, had maksimum jemaah hanya 250," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kadar berkenaan tertakluk kepada kemampuan pihak pengurusan masjid melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, kebenaran itu diberikan melalui Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-6 yang bersidang melalui sidang video pada 9 Jun 2020 dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bil 2/2020 pada 9 Jun lalu.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, kebenaran itu tidak terpakai di kawasan diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Loading...

"Bagi mematuhi kebenaran itu, jemaah diminta berwuduk di rumah, membawa sejadah sendiri dan memakai topeng muka ketika hadir di masjid atau surau," katanya.

Beliau juga berkata, beberapa surau akan diberikan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP dengan mematuhi garis panduan ditetapkan dan kebenaran bertulis MAIM serta berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.

Sulaiman juga berkata, semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan boleh dibuat di masjid dan surau kecuali aktiviti yang dilarang seperti kenduri, gotong-royong dan seumpamanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri membenarkan kuliah Maghrib, Subuh dan kelas takmir tetapi jemaah mesti mematuhi penjarakan sosial.

Selain itu, kuliah Maghrib harus ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak manakala kuliah Subuh dibuat antara 20 hingga 30 minit sahaja.

Bagaimanapun, ceramah umum membabitkan penceramah jemputan luar tidak dibenarkan manakala majlis akad nikah dibenarkan diadakan di masjid atau surau dengan mematuhi penjarakan sosial. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram