Dr M buat kerajaan macam milik sendiri – MP Kangar



Anggota Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad membidas Dr Mahathir Mohamad selepas bekas perdana menteri itu mengeluarkan kenyataan bahawa isu peletakan jawatannya hanyalah formaliti dan bukan sebab utama kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin PKR itu mendakwa keadaan akan berbeza hari ini jika Mahathir tidak melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri pada Februari lalu.

“Jika anda (Mahathir) panggil mesyuarat tergempar PH untuk beritahu dan bincang situasi sebenar ketika masih menjadi PM (perdana menteri), perkara akan jadi berbeza," katanya di Twitter.

“Saya percaya kita masih boleh meraih lebih sokongan.


Loading...

“Bagaimanapun, kamu (Mahathir) tak (bincang). Ia seperti kerajaan kamu sendiri dan bukan PH,” dakwanya lagi dalam tweet yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Kenyataan Amin Ahmad itu disangkal bekas Setiausaha Akhbar Mahathir, Endie Shazlie Akhbar.

Endie menjelaskan bahawa Mahathir sudah pun membincangkan perkara tersebut dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada pagi sebelum peletakan jawatannya.

Amin Ahmad, bagaimanapun menegaskan Mahathir telah meletakkan jawatannya malah sebelum mesyuarat dengan pemimpin parti komponen PH.


Loading...

“Ini mendorong Bersatu untuk mengadakan mesyuarat tergempar malam itu. Selebihnya, seperti yang diperkatakan, adalah sejarah," katanya lagi.

Mahathir hari ini sekali lagi menjelaskan situasi yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PH.

Mahathir turut berkata beliau ditawarkan untuk membentuk gabungan baru bersama Umno, PAS dan Bersatu namun menolak idea tersebut.

Bagaimanapun kata Mahathir, idea tersebut disokong oleh Muhyiddin dan majoriti ahli Bersatu.


“Saya tak dapat terima cadangan yang saya patut jadi perdana menteri ke atas gabungan yang tak suci ini.

“Oleh kerana Muhyiddin bersedia, saya keluar dari kumpulannya,"kata ahli parlimen Langkawi itu menerusi blognya hari ini.

Anwar pada hari Mahathir meletakkan jawatan berkata bekas pengerusi Bersatu itu tidak terlibat dalam usaha membentuk kerajaan baru.

Anwar pada ketika itu juga menambah beliau sudah berjumpa dengan Mahathir dan mengetahui niat beliau untuk meletakkan jawatan kabinet tertinggi itu dan telah merayunya untuk tidak berbuat demikian.


Loading...

Tiga sebab Mahathir letak jawatan - Najib

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak menerusi akaun Facebook pula mendakwa terdapat tiga sebab mengapa Mahathir melepaskan jawatan.

Antaranya, jelas Najib adalah kerana Mahathir tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri, enggan dikawal DAP dan PKR dan bimbang PH dan Bersatu akan kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Mereka amat bimbang selepas kalah lima kali PRK berturut-turut kepada BN/Muafakat Nasional termasuk kekalahan paling teruk di kawasan parlimen sendiri

"Calon orang Melayu parti PPBM (Bersatu) kalah teruk kepada calon orang Cina BN/MN di kawasan majoriti Melayu dalam negeri yang Menteri Besar ialah dari PPBM dan Perdana Menteri ialah dari PPBM.

“Sebab itu, PM7 (Mahathir) sangat inginkan menjadi PM (perdana menteri) untuk sebuah kerajaan perpaduan di mana dia boleh pilih sendiri mana-mana ahli parlimen dia suka tanpa perlu mengikut kehendak parti,” katanya lagi. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram