PAS komited bersama Umno dalam MN, pertahan PN



PAS mempertegas komitmen dalam Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan kerajaan PN, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan memaklumkan pendirian presiden parti itu.

"Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) mempertegaskan bahawa PAS akan terus komited untuk bersama Umno dalam Muafakat Nasional terutama dalam usaha memperkasa sekaligus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional demi untuk kepentingan negara dan rakyat Malaysia umumnya," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Takiyuddun berkata PAS amat bersetuju dengan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa ahli parlimen BN akan terus menyokong kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.


Loading...

"PAS yakin kepimpinan yang diterajui bersama oleh pati-parti yang mendukung PN akan terus memberikan perkhidmatan terbaik disamping akan mengemukakan tawaran baru yang lebih bermanfaat kepada semua rakyat pelbagai kaum tanpa kecuali," jelas beliau lagi.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.


Loading...

Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.

Pengumuman presiden Umno hari ini sekaligus menutup ramalan sebelum ini bahawa PN yang kini diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi sebelum PRU15.

PN merupakan gabungan yang merangkumi Umno, PAS, Bersatu termasuk kem bekas timbalan presiden PKR Mohamad Azmin Ali serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan secara tidak rasmi susulan 'Langkah Sheraton' pada Februari yang lalu. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram