UMNO dah tidak laku di Sabah, kata Menteri Bersatu



Pemimpin dan ahli UMNO tidak dapat menerima kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr. Abdul Latiff Ahmad bahawa UMNO sudah tidak lalu di Sabah.

Ketua Penerangan UMNO Shahrir Sufian Hamdan berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bersatu itu sebagai cukup biadab, angkuh dan tidak mencerminkan realiti.

Jelas Shahrir, kenyataan Ahli Parlimen Mersing dan bekas pemimpin UMNO itu tidak langsung membantu kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional yang masih baru dan belum sempurna.

“Persoalannya, mengapa seorang Menteri berjawatan di Bersatu mahu memperkecil parti yang menang 54 kerusi di PRU14 termasuklah kerusi Mersing?


Loading...

“Persoalannya, mengapa seorang Menteri berjawatan di Bersatu tiada rasa segan silu setelah melompat meninggalkan kapal sewaktu susah, malah tidak langsung berterima kasih kepada jentera dan institusi yang memenangkan beliau di Mersing?” tanya Shahrir.

Dalam video yang viral di media sosial bekas Ketua Bahagian UMNO Mersing itu berkata, UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai Bersatu.

“Saya orang yang melompat, teruk juga saya kena kutuk. Biasa la tu. Kalau tak nak tak payah masuk politik. Saya tak ada Facebook, Instagram, Twitter jadi orang tak boleh hentam saya. Kalau dia hentam saya pun saya tak tahu, sebab saya tak ada.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat. Dia kata hijrah. Biasa. Daripada Berjaya pergi ke USNO, Berjaya pergi PBS, PBS pergi UMNO, UMNO sekarang ini tak laku lagilah. UMNO di Sabahlah. Itu realitinya. Kerana orang sudah tidak yakin. Semua orang dia dah lompat, dia hijrah ke Bersatu,” kata Abdul Latif dalam video itu.


Loading...

Abdul Latif antara enam ahli Parlimen UMNO yang keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu pada 12 Februai 2019 selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Shahrir berkata, UMNO telah banyak berkorban dan berjiwa besar setelah kejatuhan Pakatan Harapan.

“Tidak perlu disenarai disini tetapi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik akan tahu bahawa UMNO memaparkan keikhlasan dan meletak ego ketepi demi kepentingan rakyat yang dianggap lebih besar dari kepentingan parti.

“Tetapi jangan uji kesabaran UMNO seolah-olah kami hanya penumpang yang boleh dicemuh sesedap rasa. Sebaliknya, PPBM perlu juga memaparkan keikhlasan yang sama,” kata Shahrir.


Ketua Penerangan UMNO itu berharap ada dalam kalangan pemimpin Bersatu yang boleh menegur Abdul Latif dan memperbetulkan keadaan.

Menurutnya, jika pimpinan Bersatu mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan isu itu berlalu tanpa tindakan maka UMNO tiada pilihan selain menganggap kenyataan Abdul Latif mewakili Bersatu dan bukan sekadar kesilapan besar seorang individu.

“Di saat itu, pimpinan Bersatu boleh congak sendiri apa potensi kesannya jangka pendek dan panjang.

“Kepada sahabat-sahabat UMNO Sabah, kita satu keluarga. Cubit peha kiri, peha kanan terasa.

“Percayalah bahawa UMNO di seluruh negara amat menghormati segala pengorbanan anda yang kekal istiqamah dalam perjuangan meskipun ramai lain yang memilih jalan lebih mudah. Teruskan usaha dan komitmen anda yang menjadi inspirasi kami di Semenanjung,” kata Shahrir. – SM




Join our Telegram Channel
Telegram